Gov News

Program MPI-MCMC Perkukuh Pernan Media Dalam Pembinaan Negara

Putrajaya, 30 Mei 2025 — Usaha memperkukuh peranan media dalam pembinaan negara mendapat suntikan segar menerusi penganjuran program bertemakan “Media and Nation-Building: Ethics, Cyber Protection and Regulatory Frameworks”, yang berlangsung selama dua hari di Grand Ballroom, Hotel Zenith, Putrajaya.

Program berprestij ini dianjurkan oleh Malaysian Press Institute (MPI) dengan sokongan padu daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), menghimpunkan tokoh-tokoh media, penggubal dasar, pakar keselamatan siber serta pengamal industri dari pelbagai latar belakang untuk berbincang secara mendalam isu-isu kritikal yang membentuk landskap media di Malaysia.

Majlis dimulakan dengan ucapan perasmian oleh Prof. Dr. Mohamad Salmi Mohd Sohod, Ahli Suruhanjaya MCMC, yang menekankan kepentingan etika kewartawanan dan perlindungan siber dalam memperkukuh naratif nasional yang bersatu dan inklusif.

Antara acara utama ialah “Closed Roundtable Discussion” yang dipengerusikan oleh Tan Sri Dato’ Sri Mohd Annuar Zaini, Penasihat MCMC, membincangkan peranan media dalam membentuk identiti kebangsaan yang utuh. Turut menjadi tumpuan ialah Sesi Panel Evolusi Media Malaysia, menampilkan tokoh berpengaruh seperti Datuk Khalid Ahmad, Encik Namanzee Harris, dan Dato’ Nelson Fernandez, yang membincangkan perubahan ekosistem media tanah air dan cabaran era digital.

Hari kedua pula menyaksikan sesi pembentangan oleh Ts. Dr. Megat Al Imran, yang mengupas fenomena media disruption dalam era teknologi pesat. Satu lagi sesi penting ialah panel “Social Media Influence in Shaping Narratives and Media Responsibility”, di mana Nazri Kahar dari Astro Awani dan Sayed Munawar Sayed Mustar tampil membahaskan bagaimana media sosial memberi kesan kepada pembentukan persepsi masyarakat.

Program ini diakhiri dengan ucapan penutup oleh Prof. Dr. Mohamad Salmi, yang menyifatkan kolaborasi MPI dan MCMC sebagai contoh sinergi ideal antara institusi media dan pengawal selia dalam mengekalkan keseimbangan antara kebebasan media dan tanggungjawab sosial.

Tahniah dan penghargaan harus diberikan kepada MCMC dan Malaysian Press Institute atas penganjuran program yang berwibawa ini, yang bukan sahaja memperkasa pemain industri media, malah turut mencorak masa depan kewartawanan Malaysia yang lebih beretika, selamat dan progresif.

𝐔𝐧𝐢𝐭 𝐁𝐞𝐫𝐢𝐭𝐚 : 𝐇𝐞𝐥𝐥𝐨 𝐌𝐚𝐥𝐚𝐲𝐬𝐢𝐚

Back to top button