Madani News

PM tiba di Perancis

DATUK Seri Anwar Ibrahim tiba di ibu negara Perancis untuk memulakan lawatan rasmi sulung ke negara itu.

Pesawat yang membawa Perdana Menteri dan delegasi mendarat di Lapangan Terbang Pavillon d’Honneur Orly pada 4.10 petang (10.10 malam waktu Malaysia) dari Rom usai lawatan tiga hari Perdana Menteri di sana.

Menyambut ketibaan Anwar, Duta Besar Malaysia ke Perancis, Datuk Eldeen Husaini dan pegawai kerajaan Perancis.

Anwar melakukan lawatan rasmi itu atas jemputan Presiden Emmanuel Macron.

Eldeen sebelum ini memberitahu media lawatan itu berstatus rasmi dan menandakan komitmen kuat Perancis terhadap hubungan diplomatik dengan Malaysia sejak Anwar memegang jawatan Perdana Menteri pada 2022.

Anwar dijadualkan mengadakan pertemuan dengan Macron di Istana Élysée, dengan item agenda utama termasuk perdagangan, pelaburan, tenaga boleh diperbaharui, semikonduktor, pertahanan, pendidikan, ekonomi digital dan kecerdasan buatan (AI).

Kedua-dua pemimpin juga dijangka membincangkan krisis di Asia Barat khususnya krisis kemanusiaan di Gaza.

Perdana Menteri akan turut menghadiri solat Jumaat bersama pemimpin komuniti Muslim di masjid Besar Paris, satu dari masjid tertua di Perancis.

Anwar juga akan menyampaikan syarahan bertajuk ‘Southeast Asia and Europe: Recalibrating the Terms of Engagement’ di Sorbonne University, institusi terkenal di dunia dalam bidang intelek dan budaya.

Lawatan Perdana Menteri itu diiringi Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Pengangkutan, Anthony Loke; Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu; Menteri Pertahanan; Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Turut menyertai delegasi itu Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd Nasir.

Back to top button