
PM rakam takziah enam sekeluarga maut di Sungai Korok
DATUK Seri Anwar Ibrahim menzahirkan rasa sedih susulan tragedi menyayat hati membabitkan enam beranak ditemukan maut dalam kereta Proton Saga Iswara yang tenggelam dalam Sungai Korok, pagi tadi.
“Saya amat sedih dan berdukacita menerima khabar tragedi menyayat hati membabitkan enam sekeluarga ini.
“Takziah yang setulusnya kepada seluruh ahli keluarga mangsa.
“Moga mereka dikurniakan ketabahan menghadapi ujian amat berat ini, dan roh semua mangsa dicucuri rahmat serta ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman,” katanya dalam satu hantaran di laman sosialnya.
Terdahulu, seorang wanita membuat laporan polis selepas abang, kakak ipar serta empat anak mereka gagal dikesan sejak Sabtu lalu selepas pulang bermalam di rumahnya di Taman Aman, dekat sini.
Semua mangsa terdiri daripada pasangan suami isteri dan empat anak berusia enam bulan hingga sembilan tahun, ditemukan maut dalam kereta Proton Saga Iswara yang tenggelam dalam Sungai Korok, Jitra di Kedah, pagi tadi.