
RM5.27 juta untuk Tuisyen MADANI di Terengganu
KERAJAAN MADANI meluluskan peruntukan sebanyak RM5.27 juta bagi membiayai kos Tuisyen MADANI kepada pelajar di Terengganu.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Tuisyen MADANI adalah projek perintis pertama yang bakal melibatkan 9,408 pelajar di seluruh negeri Terengganu..
“Peruntukan itu turut diluluskan bagi menampung 614 guru membeli peralatan peralatan mengajar.
Terengganu adalah negeri pertama kita umumkan peruntukan untuk Jabatan Pendidikan negeri (JPNT) membantu pelajar mengikuti program Tuisyen MADANI,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penutup Program Madani Rakyat 2025 (PMR) peringkat negeri di Pasar Kedai Payang, di Kuala Terengganu, hari ini.
PMR 2025 diadakan selama tiga hari bermula sejak Khamis dan berjaya menarik kedatangan kira-kira 82,182 pengunjung.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, peruntukan bagi membiayai kos program Tuisyen MADANI diluluskan berikutan kejayaan pelajar dari negeri itu memperoleh keputusan cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) tahun lalu.
Dalam perkembangan lain, Perdana Menteri berkata kerajaan turut meluluskan peruntukan sebanyak RM2.43 bilion kepada Kementerian Kerja Raya (KKR) bagi membiayai kos penyelenggaraan jalan persekutuan di seluruh negara.