Madani News

Cara New Zealand perkasa masyarakat Maori jadi model pindaan Akta Orang Asli – Zahid

MALAYSIA mengambil inspirasi daripada model pemerkasaan masyarakat Maori New Zealand yang boleh dikaitkan dalam pemindaan Akta Orang Asli 1954

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, antara elemen utama yang akan diperkenalkan termasuk isu hak pemilikan tanah, penyertaan dalam pendidikan, serta mewujudkan agensi pembiayaan khusus dalam bidang keusahawanan.

Bagaimanapun menurut Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) pendekatan digunapakai itu perlu diadaptasi mengikut keperluan dan realiti masyarakat Orang Asli di Malaysia.

“Kita berhasrat untuk memperkuatkan hak kepada masyarakat Orang Asli dan kerana akta ini terlalu lama, 71 tahun yang lalu, maka pindaaan ini adalah untuk melihat mana-mana aspek yang terlalu longgar untuk jaga kebaikan golongan itu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ahmad Zahid kini berada di New Zealand bagi lawatan kerja lima hari yang berakhir Jumaat ini.

Jelasnya, pindaan akta itu kini berada di peringkat draf awal, menerusi proses libat urus bersama pemegang taruh termasuk tokoh akademik dan profesional orang asli.

Menurutnya, Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) diamanahkan untuk merangka semula ekosistem pembangunan komuniti tersebut supaya tidak tertumpu kepada keperluan asas seperti infrastruktur dan pendidikan semata-mata.

“Pindaan akta berkenaan dijadual dibentangkan di Dewan Rakyat pada Mac tahun depan, selepas diluluskan Mesyuarat Jemaah Menteri,” katanya.

Back to top button