Madani News

Pelantikan kehakiman: Sultan Selangor seru elak buat spekulasi, tuduhan negatif

SULTAN Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menyeru semua pihak agar bertenang dan tidak membuat sebarang spekulasi negatif berhubung proses pelantikan kehakiman yang sedang berlangsung ketika ini.

Baginda yang telah mempengerusikan Mesyuarat Majlis Raja-Raja semalam bertitah, proses yang telah diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan ini perlu dilaksanakan secara telus dan berhati-hati demi memelihara kedaulatan undang-undang serta mendukung prinsip keadilan yang menjadi teras utama dalam pemerintahan negara.

“Semua pihak diseru supaya mengelakkan dari membuat sebarang spekulasi dan tuduhan negatif tanpa memperolehi fakta yang lengkap dan sahih mengenai sesuatu perkara.

“Mesyuarat ”pre-council” Majlis Raja-Raja telah diadakan pada 15 Julai 2025 diikuti dengan Mesyuarat Majlis Raja-Raja kali ke-269 yang telah bersidang pada 16 Julai 2025.

“Beta telah mempengerusikan Mesyuarat Majlis Raja-Raja yang diadakan pada kali ini. Alhamdullilah, Beta memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana mesyuarat ini telah dapat berjalan dengan baik dan lancar,” titah baginda dalam kenyataan, hari ini.

Menjelaskan mengenainya, Sultan Sharafuddin bertitah, antara agenda utama yang dibincangkan adalah berkaitan dengan rundingan bagi pelantikan Ketua Hakim Negara, Presiden Mahkamah Rayuan, Hakim Besar Sabah dan Sarawak serta hakim-hakim mahkamah atasan.

“Dalam proses rundingan tersebut, Beta telah menekankan tentang keperluan untuk mematuhi setiap peruntukan undang-undang khususnya di bawah Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan tentang proses dan tatacara pelantikan hakim-hakim kanan mahkamah atasan.

“Dalam hal ini, Beta menyokong penuh kenyataan yang dikeluarkan oleh Istana Negara bertarikh 10 Julai 2025 yang menyatakan bahawa Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong boleh melantik Ketua Hakim Negara, Presiden Mahkamah Rayuan dan jawatan penting yang lain dalam badan kehakiman setelah mendapat nasihat Yang Amat Berhormat Perdana Menteri dan setelah berunding dengan Majlis Raja-Raja,” titah baginda.

Back to top button