
Sah! Wan Ahmad Farid dilantik Ketua Hakim Negara yang baharu
PEMILIHAN hakim Mahkamah Rayuan Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh sebagai Ketua Hakim Negara yang baru menamatkan spekulasi mengenai pengganti kekosongan yang ditinggalkan Tun Tengku Maimum Tuan Mat.
Dalam kenyataan media lewat malam tadi, Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan memaklumkan bahawa berdasarkan Fasal (1) Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri dan selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja telah memperkenankan pelantikan Wan Ahmad Farid.
Jawatan Presiden Mahkamah Rayuan pula akan diisi oleh Datuk Abu Bakar Jais, sementara Datuk Azizah Nawawi akan menggalas tugas sebagai Hakim Besar Mahkamah Tinggi di Sabah dan Sarawak menggantikan hakim yang bakal bersara.
“Majlis penyampaian watikah pelantikan dan istiadat mengangkat dan menandatangani sumpah jawatan dan sumpah setia di hadapan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong akan diadakan pada 28 Julai 2025 di Istana Negara,” menurut kenyataan itu.
Sebelum memulakan kerjaya kehakimannya, Wan Farid pernah berkhidmat sebagai timbalan menteri dalam negeri di bawah pentadbiran bekas perdana menteri Abdullah Ahmad Badawi.
Beliau dilantik sebagai pesuruhjaya kehakiman pada 2015 dan kemudiannya berkhidmat sebagai hakim Mahkamah Tinggi dari 2019 hingga 2024.
Wan Ahmad Farid sebelum menyertai badan kehakiman pernah berkecimpung dalam pelbagai peranan politik, termasuk Timbalan Menteri Dalam Negeri dari Mac 2008 hingga April 2009, dan timbalan ketua UMNO Kuala Terengganu pada 2001.-