
Penghargaan untuk seluruh rakyat – Zahid
BEBERAPA inisiatif yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan satu bentuk penghargaan kepada seluruh rakyat.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan MADANI dalam menyelami denyut nadi rakyat.
“Serta membalas kepercayaan dan kesetiaan mereka dengan tindakan yang memberi kesan langsung kepada kehidupan seharian.
“Langkah-langkah ini pastinya memperkukuh tekad kami di setiap peringkat pentadbiran, termasuk di Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) untuk terus menggandakan usaha memperkasa komuniti desa dan merapatkan jurang ekonomi rakyat secara menyeluruh.
“Terima kasih YAB Perdana Menteri. Semoga inisiatif ini dapat meringankan beban rakyat, memperkukuh keyakinan dan semangat perpaduan, serta menyemarakkan iltizam kita bersama untuk membina Malaysia yang lebih adil, makmur dan sejahtera. Insya-Allah,” katanya dalam kenyataan.