
Sanusi kena faham perbezaan bantuan dan belanjawan – PM
DATUK Seri Anwar Ibrahim menyentuh kenyataan beberapa pemimpin pembangkang, termasuk Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang memperlekeh penurunan harga RON95 daripada RM2.05 ke RM1.99 dan bantuan RM100 secara ‘one-off’ kepada semua orang dewasa di Malaysia.
Perdana Menteri menegaskan, penghargaan itu pertama kali dilaksana membabitkan semua rakyat tanpa mengira status sosial, dengan menerima bantuan daripada Kerajaan sempena bulan kemerdekaan.
“Saya ingin mengambil sedikit masa untuk membantu Sanusi memahami perbezaan antara ‘bantuan’ dan ‘belanjawan’, satu konsep asas pentadbiran yang barangkali sukar difahami beliau sepanjang menjadi Menteri Besar.
“Semua inisiatif yang diumumkan semalam bukanlah sebahagian Belanjawan 2026. Belanjawan 2026 hanya boleh diguna pakai pada tahun 2026. Sebab itu namanya Belanjawan 2026.
“Semua penghargaan yang diumumkan semalam akan dilaksanakan tahun ini, bermula dengan SARA untuk semua pada 31 Ogos 2025,”katanya dalam taklimat media hari ini yang disampaikan Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah.
Pejabat Perdana Menteri berkata, Anwar sentiasa bersikap terbuka sekiranya Menteri Besar Kedah memerlukan taklimat ringkas atau terperinci, agar tidak lagi tersasar dalam membuat ulasan, terutama melibatkan fakta asas pengurusan kewangan negara.


