Gov News

Anwar kesal himpunan dianjurkan pembangkang tiada isu pokok

PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim kesal Himpunan Turun Anwar tiada isu pokok yang cuba diketengahkan melainkan jeritan “Turun Anwar”.

Anwar berkata, kerajaan pimpinannya sedia menerima teguran dan kritikan mahupun usul undi tak percaya.

“Dalam menyusun langkah, teguran dan peringatan dalam perjuangan harus diraikan. Saya ucap terima kasih kepada semua yang berhimpun semalam kerana ia berlangsung secara aman.

“Saya sentiasa bersedia mendengar apa jua teguran dan kritikan, namun sedikit kesal kerana tiada isu pokok yang diketengahkan. Yang kedengaran cuma satu: “Turunkan Anwar.”

“Ketua Pembangkang pula dikatakan mahu membawa usul undi tidak percaya. Silakan. Ini negara demokrasi. Usul itu satu proses yang sah. Jika cukup jumlah, bawa saja ke Parlimen.

“Saya tidak pernah mendakwa kerajaan ini sempurna. Tapi kita tidak sombong untuk membetulkan kelemahan. Apa yang kurang, akan kita baiki. Apa yang belum selesai, akan kita usahakan,” katanya dalam satu hantaran di Facebooknya.

Anwar berkata, reformasi yang mesti dilaksanakan secara berfasa agar dapat diterima, difahami dan berkekalan.

Katanya, langkah menurunkan harga RON95 kepada RM1.99 untuk rakyat Malaysia dengan menarik subsidi daripada warga asing adalah langkah berani dan rasional demi memastikan wang negara dimanfaatkan oleh rakyat terbanyak.

Back to top button