
PRN Sabah: Kerjasama BN-PH telah dikunci – Zahid
PENGERUSI BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan yang parti itu telah mengunci perjanjian kerjasama bersama PH menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
Ahmad Zahid Hamidi berkata, keputusan itu telah dimuktamadkan terlebih dahulu, meskipun Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mengumumkan kerjasama mereka dengan PH.
“Kita telah muktamadkan kolaborasi kita bersama PH ertinya BN dan PH itu telah dikunci (kerjasama) sebagai rakan kongsi dalam PRN Sabah.
“Walaupun untuk PH dan GRS adalah satu kesepakatan bersama antara mereka yang juga telah dimuktamadkan,” katanya dipetik Buletin TV3.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas hadir melawat persiapan Mega Karnival 3 Dimensi di Kuala Lumpur, hari ini.
Mengulas lanjut mengenai persediaan menuju PRN Sabah, beliau yang juga Presiden UMNO itu berkata, BN masih terbuka untuk sebarang kerjasama bersama parti lain.
“Kita akan terus buka pintu kerjasama BN-PH dengan parti-parti lain atau gabungan lain untuk negeri Sabah,” ujarnya lagi.
Tegasnya lagi, kedua-dua gabungan politik itu juga akan memastikan proses demokrasi dalam PRN Sabah akan terus dimurnikan menerusi semangat kerjasama.
Baru-baru ini, Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor mengesahkan, telah memuktamadkan kerjasama bersama PH bagi berdepan PRN Sabah.
Perkara itu katanya telah dicapai menerusi kesepakatan dalam kalangan komponen GRS.