
ASEAN perlu terus kekal bersatu, berpaksikan dialog – Anwar
ASEAN perlu terus kekal bersatu, berprinsip dan berpaksikan dialog dalam mendepani tantangan serantau dan global.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara berkenaan antara yang disentuh dalam perbualan telefon bersama Presiden Filipina, Ferdinand Marcos Jr sejurus tiba ke tanah air dari Jakarta, Indonesia, malam tadi.
“Kami menyentuh mengenai perkembangan semasa di rantau ini, termasuk lawatan beliau ke Amerika Syarikat serta peranan penting ASEAN dalam memperkukuh kerjasama serantau,” katanya di Facebooknya hari ini.
Perdana Menteri berkata, beliau dan Marcos turut membincangkan usaha pendamaian antara Kemboja dan Thailand yang semakin menampakkan hasil meskipun terdapat beberapa insiden mencabar proses itu.
“Malaysia menghargai sumbangan konstruktif kuasa-kuasa besar seperti China dan Amerika Syarikat serta rakan-rakan ASEAN dalam menjayakan rundingan ini,” katanya.
Isnin lalu, Anwar mengumumkan bahawa Thailand dan Kemboja bersetuju melaksanakan gencatan senjata serta-merta dan tanpa syarat bagi meredakan ketegangan di sepanjang sempadan yang dipertikai, hasil mesyuarat khas yang dipengerusikan beliau di Putrajaya.


