Malaysian News

RMK13: STR, SARA diteruskan

INISIATIF bantuan sosial seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) akan diteruskan Kerajaan MADANI dalam Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13), iaitu pelan negara untuk lima tahun akan datang.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ketika membentangkan RMK13 di Dewan Rakyat hari ini berkata, payung Rahmah juga akan dipergiat melalui program utama seperti Jualan Rahmah, Kafe Rahman dan Bakul Rahmah yang membolehkan pengguna mendapat akses kepada makanan berpatutan.

“Pada masa sama, kerajaan akan meningkatkan pemantauan dan kawalan harga makanan bagi memastikan ketelusan harga di sepanjang rantaian bekalan,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, Kerajaan meningkatkan peruntukan ke tahap tertinggi bagi STR dan SARA iaitu kepada RM13 bilion daripada RM10 bilion tahun ini.

Anwar berkata, selain bantuan sosial untuk meringankan kos sara hidup, kerajaan juga berusaha mengurangkan bebanan bil utiliti kediaman, antaranya melalui kaedah Time-of-Use (ToU) ditawarkan Tenaga Nasional Berhad.

“Selain itu, Pakej Rahmah untuk perkhidmatan internet serta insurans dan takaful yang lebih mampu dibayar juga diteruskan.

“Kerajaan juga terus memastikan kos pengangkutan awam yang berpatutan dengan menyediakan pas perjalanan bulanan dan pas perjalanan khas kepada pelajar, warga emas dan OKU serta meneruskan program subsidi tiket penerbangan udara kepada pelajar,” katanya.

Back to top button