
Kes Zara Qairina: JSJ Bukit Aman ambil alih siasatan
PASUKAN khas Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman dihantar ke Kontinjen Sabah bagi mengambil alih siasatan kes Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir.
Pejabat Urus Setia Ketua Polis Negara (Komunikasi Korporat) dalam kenyataan berkata, penghantaran pasukan ‘task force’ terdiri daripada sembilan anggota dan pegawai itu adalah komitmen Polis Diraja Malaysia (PDRM) memastikan siasatan dilaksanakan secara telus dan menyeluruh.
“PDRM memandang serius setiap kes yang melibatkan kehilangan nyawa.
“Sehubungan itu, PDRM menyeru agar semua pihak memberikan ruang kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan dengan profesional, serta tidak membuat spekulasi yang boleh menjejaskan proses siasatan,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan Zara Qairina ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri dalam longkang berhampiran asrama sekolah agama tempatnya belajar pada pagi 16 Julai lalu.
Allahyarhamah kemudiannya disahkan meninggal dunia ketika dirawat di hospital sehari selepas itu.
Kematian pelajar Tingkatan Satu berkenaan mencetuskan perhatian meluas susulan dakwaan berlaku insiden buli membabitkan ‘sekumpulan pelajar senior’ sekolah itu.