
Pengetua, PK HEM, warden SMKA Tun Datu Mustapha ditempatkan sementara di JPN
KEMENTERIAN Pendidikan Malaysia (KPM) memaklumkan bahawa Pengetua, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (HEM) serta semua warden Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Papar, akan ditempatkan sementara di Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sabah sehingga siasatan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) selesai.
Dalam kenyataan rasmi yang dikeluarkan hari ini, KPM menjelaskan bahawa keputusan tersebut diambil susulan pengumuman PDRM bahawa Pasukan Petugas Khas Bukit Aman kini telah mengambil alih siasatan kes melibatkan kematian Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir.
โKPM akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa bagi memastikan siasatan dijalankan secara menyeluruh, teliti dan tuntas.
โSebagaimana, yang telah ditegaskan sebelum ini, kes ini menjadi keutamaan KPM pada masa ini,โ menurut kenyataan tersebut.
KPM turut menyatakan harapan agar siasatan dapat dijalankan secara telus dan menyeluruh demi keadilan kepada keluarga mangsa serta semua pihak yang terlibat.
Allahyarhamah Zara Qairina, 13 tahun, disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu pada 17 Julai lalu, setelah dimasukkan ke hospital selepas dijumpai dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama sekolahnya pada jam 4 pagi, 16 Julai.
Pada 9 Ogos lalu, kubur Allahyarhamah di Tanah Perkuburan Islam Tanjung Ubi, Kampung Mesapol, Sipitang telah digali semula bagi membolehkan proses bedah siasat dijalankan.
Tindakan ini susulan keputusan Jabatan Peguam Negara (AGC) yang memaklumkan terdapat keperluan untuk siasatan lanjut demi memastikan kebenaran dapat diperoleh.
Jenazah Allahyarhamah kemudian dibawa ke Hospital Queen Elizabeth I untuk tujuan bedah siasat dan telah selamat dikebumikan semula pada awal pagi Ahad di tanah perkuburan yang sama.
AGC dalam kenyataannya sebelum ini menjelaskan bahawa langkah tersebut perlu bagi memastikan siasatan dapat dijalankan secara komprehensif dan adil kepada semua pihak yang berkaitan.