
Agong mahu budaya buli dibendung peringkat sekolah rendah lagi
YANG di-Pertuan Agong Sultan IbrahiM bertitah agar kerajaan melaksanakan kempen anti buli secara menyeluruh bagi membendung gejala itu sejak di peringkat sekolah rendah.
Baginda bertitah, budaya buli sekiranya tidak dibendung sejak dari peringkat sekolah rendah berisiko melahirkan generasi yang hilang nilai hormat dan kasih sayang sesama insan.
Titah baginda lagi, buli bukan sahaja merosakkan mental dan emosi mangsa, malah boleh mengakibatkan pelbagai tragedi.
“Anak-anak perlu diberi penerangan sejak dari usia kecil mengenai perkara ini dan menerusi kempen berkenaan akan membimbing mereka dalam memahami erti saling hormat menghormati dan berdisiplin,” titah Seri Paduka Baginda yang dimuatnaik di Facebook rasmi Sultan Ibrahim pada Isnin.
Sultan Ibrahim bertitah Akta Kanun Keseksaan (Pindaan) 2025 dan Akta Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) 2025 untuk menangani buli turut membuktikan komitmen kerajaan untuk membanteras isu berkenaan secara tegas.
Tambah baginda lagi, usaha berkenaan turut memerlukan pendekatan merentasi kementerian dan agensi bagi memastikan jenayah buli ditangani secara menyeluruh.
Terdahulu, baginda berkenan menerima mengadap Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, Menteri Komunikasi di Istana Negara.
Pada sesi mengadap itu, Fahmi turut mempersembahkan komitmen kementerian dalam menangani isu buli serta tindakan-tindakan yang diambil bagi membanteras isu berkenaan.
Fahmi turut mempersembahkan kepada Seri Paduka Baginda mengenai taklimat pelaksanaan sambutan Hari Kebangsaan Tahun 2025.