
Institusi pendidikan MARA jangan cuba sembunyi buli demi jaga reputasi
TINDAKAN tegas akan dikenakan terhadap pihak pengurusan institusi pendidikan Majlis Amanah Rakyat (MARA) termasuk Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) jika menyembunyikan kes buli demi mahu menjaga nama baik dan reputasi.
Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, adalah menjadi kesalahan jenayah sekiranya terdapat mana-mana pihak menyembunyikan kes buli.
“Waktu awal-awal dulu bila saya diberikan amanah sebagai Pengerusi MARA, banyak aduan dan maklum balas saya terima daripada ibu bapa dan pelajar kecenderungan untuk Institusi pendidikan MARA (IPMA) yang tidak mahu menghebahkan kes-kes berkaitan buli.
“Ini kerana kononnya nak jaga reputasi dan imej IPMA dan pengurusan takut terjejas mendapat anugerah kecemerlangan.
“Saya telah memberikan isyarat dan pengarahan yang jelas bahawa jika saya sendiri perolehi maklumat ini, pasti akan saya ambil tindakan tegas kepada pihak pengurusan IPMA termasuk MRSM,” katanya menerusi Facebook, hari ini.
Tegasnya, beliau tidak akan berkompromi isu buli walaupun dirinya banyak bertimbang rasa termasuk mengambil berat hal kebajikan guru, pelajar dan staf.
Menurutnya, usaha untuk memutuskan rantaian buli yang seolah-olah dijadikan tradisi di sesetengah tempat hanya boleh dilakukan dengan berkesan jika tindakan tegas diambil dan mendapat dokongan serius semua pihak.
“Prinsip #YouTouchYouGo tidak kira sesiapa. Jika terlibat dengan buli usah merayu dengan saya apabila tindakan diambil.
“Hatta anak orang berpengaruh mahupun ternama sekali pun, mereka tahu pendirian tegas saya ini,” katanya.