
SARA: Stok barang di pasaran mencukupi – Fahmi
KERAJAAN akan mempertingkatkan pemantauan bagi memastikan stok barangan keperluan asas mencukupi untuk menebus Penghargaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA).
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah memaklumkan bahawa stok barangan di pasaran setakat ini adalah mencukupi.
“Pihak KPDN tidak memaklumkan sebarang masalah berkaitan bekalan. Pemantauan akan ditingkatkan bagi memastikan tiada isu timbul dari segi stok atau bekalan barangan keperluan asas,” katanya pada sidang media pasca-Mesyuarat Kabinet di Putrajay, hari ini.
Fahmi yang juga jurucakap Kerajaan MADANI berkata, mesyuarat Kabinet yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, turut dimaklumkan bahawa sebanyak RM192.4 juta telah ditebus sehingga tengah malam tadi melalui pembelian barangan keperluan asas menggunakan kredit Penghargaan SARA.
“Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah, turut memaklumkan bahawa pihak kementerian akan menasihatkan lebih 7,000 premis untuk memaklumkan kepada pengunjung supaya menyemak beberapa perkara sebelum menebus kredit Penghargaan SARA,” katanya.
Fahmi turut menepis dakwaan segelintir pihak yang mempertikaikan kaedah penebusan kredit menggunakan MyKad dengan menegaskan bahawa kaedah itu bertujuan memastikan bantuan dimanfaatkan khusus untuk pembelian barangan keperluan asas sahaja.
“RM100 ini dimaksudkan untuk membantu isi rumah membeli barangan keperluan asas. Inilah mekanisme untuk memastikan dana yang disalurkan mencapai tujuan program,” katanya.
Penghargaan SARA sebanyak RM100 secara sekali bayar kepada setiap warganegara Malaysia berusia 18 tahun ke atas melalui MyKad telah mula disalurkan sejak 31 Ogos lalu dan boleh ditebus di lebih 7,000 premis sehingga 31 Dis 2025.
Bantuan ini memberi manfaat kepada kira-kira 22 juta penduduk dengan peruntukan berjumlah RM2 bilion.