Johari akan bertemu PM mahu Kg Sungai Baru dimiliki orang Melayu

Johari akan bertemu PM mahu Kg Sungai Baru dimiliki orang Melayu

KERAJAAN mesti memberi jaminan bahawa pembangunan semula Kampung Sungai Baru akan dimanfaatkan untuk orang Melayu sahaja.

Justeru, Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani akan mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi membincangkan perkara berkenaan.

Johari juga mahu pemaju Kampung Sungai Baru membina perumahan yang mampu dibeli oleh orang Melayu keranan tanah itu adalah hak milik kaum berkenaan yang diberikan oleh Sultan Selangor ketika itu pada zaman British.

“Sebab sejarah tanah ini adalah tanah Melayu, jadi hanya orang Melayu yang boleh beli produk daripada pemaju.

“Kalau tiada orang Melayu nak beli, pemaju kena tunggu sehingga orang Melayu dapat beli,” katanya di ibu negara hari ini.

Johari berkata demikian sebagai mengulas isu pengosongan baki penduduk Kampung Sungai Baru yang enggan berpindah.

Operasi pengosongan itu menyaksikan kekecohan berlaku sehingga menyebabkan Ketua Polis Daerah (OCPD) Dang Wangi, Asisten Komisioner Suzilme Affendy Sulaiman mengalami kecederaan.

Sementara itu Johari yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi secara peribadi berkata beliau tidak bersetuju dengan apa yang berlaku hari ini.

Namun, memandangkan ia telah berlaku pemaju harus memastikan orang Melayu dan penduduk asal tanah itu, mampu memiliki kediaman yang akan dibangunkan, dengan harga yang bersesuaian dan berupaya membina kehidupan yang baik di situ.

“Hari ini kita berdepan masalah yang sangat kronik dari segi pembangunan semula Kampung Sungai Baru dan saya tidak bersetuju perkara ini diteruskan.

“Tetapi disebabkan perkara ini sudah berlaku dan tidak mungkin boleh berpatah kembali, justeru pemaju perlu pastikan pembangunan di kawasan seluas 3.19 hektar itu mampu dibeli oleh orang Melayu,” katanya.