Madani News

Budaya, ekonomi perlu selari diperkukuhkan – PM

PEMERKASAAN ekonomi negara perlu digerakkan seiring dengan usaha memperkukuh budaya serta nilai kemanusiaan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pembangunan ekonomi tidak boleh dilihat dari sudut material semata-mata, sebaliknya berteraskan pembangunan insan yang menyeluruh.

“Teras kita adalah pemerkasaan ekonomi, kemampannya, tetapi yang kita nak bangunkan itu manusia.

“Pemerkasaan ekonomi mestilah selari dengan pemerkasaan budaya. Kita kembangkan nilai insan dan manusiawi, dan kita tunjukkan kesediaan kita bukan sekadar untuk kenal tetapi menghormati, mengimarahkan, menghebatkan, memperkenalkan dan menunjukkan kita terkesan dengan kehebatan masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Festival Budaya Malaysia 2025 di Taman Tasik Titiwangsa, di ibu negara, semalam.

Turut hadir, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa; serta Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Anwar turut menegaskan, budaya merupakan antara kekuatan utama Malaysia dan perlu diperkasakan bersama nilai hormat serta keterbukaan terhadap kepelbagaian.

“Berbeza daripada pandangan kelompok kecil yang anggap hanya pandangan mereka baik dan tidak bersedia menerima kepelbagaian.

“Negara kita ditegakkan dengan beberapa asas, termasuk Bahasa Melayu yang berperanan memperkuat dan mengikat semua rakyat. Namun, negara ini juga ditegakkan dengan menghormati hak semua kaum menguasai bahasa mereka.

“Dan dengan perkembangan dunia yang mencabar hari ini, ia menuntut kita menguasai pelbagai bahasa, termasuk bahasa Inggeris,” ujarnya.

Perdana Menteri menambah, teras budaya negara adalah budaya Melayu yang merupakan budaya kebangsaan, namun ia terus dikembangkan dengan merangkul kepelbagaian budaya etnik lain seperti Cina, India, Iban, Kadazan, Murut, Melanau dan Bajau.

“Semua ini kita rangkul sebagai budaya Malaysia, budaya anak Malaysia. Inilah kekuatan sebenar yang akan menjamin keamanan dan kelangsungan negara.

“Kalau kita mula menolak (kepelbagaian) ini, itulah bibit-bibit perpecahan akan bermula,” katanya.

Back to top button