Anwar tekankan tindakan tegas hentikan pencerobohan Israel

Anwar tekankan tindakan tegas hentikan pencerobohan Israel

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan perlunya tindakan bersama yang lebih tegas bagi menamatkan pencerobohan Israel, mempertahankan kedaulatan negara Arab-Islam serta menjamin hak rakyat Palestin.

Dalam hantaran di Facebook hari ini, beliau memaklumkan perkara itu dibincangkan ketika pertemuan ringkas bersama beberapa pemimpin di luar Sidang Kemuncak Luar Biasa Arab-Islam di Doha, Qatar, semalam.

Antara pemimpin yang hadir ialah Putera Mahkota merangkap Perdana Menteri Arab Saudi, Mohammed bin Salman; Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan; Raja Jordan, Raja Abdullah II Al Hussein; Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif; dan Putera Mahkota Kuwait, Sheikh Sabah Khaled Al-Hamad Al-Sabah.

“Kami menekankan sokongan penuh terhadap Qatar yang menjadi mangsa serangan rakus dan biadab rejim Zionis Israel, di samping memperkukuh kesepakatan untuk membela Palestin,โ€ katanya.

Anwar menghadiri Sidang Kemuncak Tergempar Arab-Islam atas jemputan Emir Qatar, Sheikh Tamim bin Hamad Al-Thani, susulan serangan Israel terhadap Doha pada 9 September lalu.

Serangan di kawasan Leqtaifiya itu melibatkan kira-kira 15 jet pejuang Zionis yang mengorbankan enam individu, termasuk anak kepada pemimpin kanan Hamas, Khalil al-Hayya, pengarah pejabatnya serta seorang pegawai keselamatan Qatar, manakala pemimpin utama Hamas dilaporkan terselamat.