Madani News

Percepatkan proses pemulihan pasca banjir Sabah – PM

DATUK Seri Anwar Ibrahim mahu segala proses pemulihan pasca banjir di Sabah perlu dipercepatkan bagi memastikan mangsa yang terjejas mendapat bantuan segera, termasuk penyediaan prasarana asas.

Perdana Menteri berkata, Kerajaan Persekutuan telah menyalurkan peruntukan tambahan berjumlah RM10 juta sebelum ini, namun melihat ada keperluan untuk menambah lagi jumlah itu berikutan pelbagai keperluan baharu yang timbul selepas fasa banjir.

“Saya daripada Doha dulu saya telah beri arahan untuk seluruh jentera Kerajaan Persekutuan bekerjasama, termasuk peruntukan tambahan RM10 juta itu.

“Tapi sekarang kita lihat beberapa keperluan yang tentunya memerlukan peruntukan yang lebih,” katanya dalam sidang media semasa membuat tinjauan tanah runtuh Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Gaya, di Kota Kinabalu, hari ini.
Perdana Menteri berkata, tumpuan utama kerajaan ketika ini adalah memastikan mangsa banjir mendapat keperluan asas seperti makanan, minuman dan penempatan.

“Selepas penyelesaian awal banjir ini sekarang ini kita hanya bantu masalah keluarga, makan minum mereka, penempatan mereka.

“Lepas itu, soal prasarana termasuk jalan dan IPG ini satu keutamaan,” katanya.

Anwar menjelaskan, kerajaan sedang menunggu laporan penuh kejuruteraan sama ada IPG Kampus Gaya yang dilanda tanah runtuh baru-baru ini boleh dibangunkan semula di tempat asal atau perlu dipindahkan ke lokasi baharu yang akan ditentukan bersama Kerajaan Negeri dalam kadar segera.

Tambahnya, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek juga telah membentangkan laporan awal mengenai kerosakan IPG tersebut dalam mesyuarat Jemaah Menteri minggu lalu dan laporan akhir diminta dikemukakan segera.

Back to top button