Madani News

Harga baru RON95 bermula Selasa depan

KADAR baharu harga RON95, iaitu RM1.99 seliter akan bermula Selasa minggu depan bagi rakyat tempatan menerusi insiatif BUDI95.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Kerajaan MADANI juga memutuskan RON95 boleh dibeli oleh warga bukan negara dengan harga yang ditetapkan pada RM2.60 seliter pada tarikh yang sama.

Jelasnya, lebih 16 juta rakyat Malaysia akan terima manfaat daripada penurunan harga petrol RON95 dengan semua warganegara dengan lesen memandu sah layak untuk menikmati subsidi bahan bakar itu.

“Kita putuskan untuk meletakkan kadar RON95 daripada RM2.05 kepada RM1.99 seliter bermula 30 September 2025 dan saya juga sebutkan manfaat dan keistimewaan ini hanya sebagai penghargaan semangat dari Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia, jadi penghargaan kepada rakyat Malaysia seluruhnya.

“Mulai 30 September (juga), bukan warganegara dan syarikat besar tidak layak terima subsidi kerana ikut perseorangan, itu bermula 30 September pada harga RM2.60,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat pada Majlis Perhimpunan Bulanan bersama warga Jabatan Perdana Menteri, hari ini.

Dalam pada itu, Perdana Menteri turut mengumumkan warga polis, tentera nikmati subsidi RON95 RM1.99 seliter bermula 27 September, manakala penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) pada 28 September bagi mengelakkan kesesakan.

Beliau berkata subsidi RON95 akan dinikmati tanpa mengambil kira tahap pendapatan, sebagai penghargaan kepada semua rakyat.

“Kerajaan memutuskan semua warganegara dengan lesen memandu sah layak untuk subsidi RON95.

“Seperti langkah penghargaan SARA, tahap pendapatan tidak digunakan untuk menidakkan seseorang daripada
menikmati subsidi RON95.

“Berdasarkan data Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), dianggarkan lebih 16 juta
penerima manfaat BUDI95,” katanya.

Dalam pada itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan menasihati masyarakat awam agar menyemak cip MyKad dan lesen memandu bagi memastikan  berfungsi dengan sebaiknya.

“Semua rakyat akan menerima siling kelayakan bulanan BUDI95 sebanyak 300 liter tetapi pemandu e-hailing dikecualikan daripada siling kelayakan tersebut dan boleh memohon untuk nilai yang lebih tinggi,” katanya.

Check Also
Close
Back to top button