
Anwar bincang pembangunan bola sepak Malaysia, ASEAN dengan Presiden FIFA
PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengadakan pertemuan dengan Presiden FIFA, Gianni Infantino sempena kunjungan rasmi pimpinan badan induk bola sepak dunia itu di Putrajaya.
Pada pertemuan itu, Anwar membangkitkan usaha memperkukuhkan boleh sepak Malaysia dan rantau ASEAN
“Perbincangan kami tertumpu kepada usaha memperkukuh ekosistem bola sepak di Malaysia dan rantau ASEAN, termasuk melalui projek FIFA Arena yang bakal menjadi pemangkin kepada lahirnya lebih ramai bakat tempatan dan peningkatan prasarana bola sepak negara.
“Kami turut menyentuh mengenai Perjanjian Pembangunan Bola Sepak ASEAN-FIFA yang merupakan satu langkah strategik membuka lembaran baharu ke arah menjadikan rantau ini sebagai kuasa bola sepak yang disegani di peringkat global,” kata Anwar dalam satu hantaran di Facebooknya.
Katanya, Malaysia akan terus memberi tumpuan kepada pembangunan bola sepak melalui peningkatan kemudahan, latihan berstruktur serta kerjasama strategik bersama FIFA.
Ia sebagai langkah penting untuk melahirkan generasi baru pemain berbakat, memperkukuh ekosistem sukan profesional dan mengangkat nama negara sebagai hab pembangunan bola sepak serantau.


