
Pantau telefon anak, dorong anak bersukan – Fahmi
IBU BAPA diseru memantau penggunaan telefon dalam kalangan anak-anak dan pada masa sama menggalakkan mereka terlibat dengan aktiviti sukan bagi mengamalkan gaya hidup sihat.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, ibu bapa perlu memainkan peranan penting dalam memastikan anak-anak tidak terlalu bergantung kepada telefon terutama pada hujung minggu.
“Saya harap aktiviti seperti ini dapat diperbanyakkan sebab kadang-kadang terutamanya untuk mak-mak, ayah-ayah, dari sabtu pagi kita bagi anak-anak tengok televisyen atau bermain telefon.
“Bukan semua dalam telefon ini baik, TikTok untuk anak-anak tidak perlu main.
“Untuk anak-anak kalau main Roblox kita kena pantau. Roblox ialah permainan atas talian tetapi kadang-kadang dalam talian bukan semua baik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Program Rapat-Rapat Bah Bersama-Sama Komuniti Kota Kinabalu di Gelanggang Futsal UTC, di Kota Kinabalu, semalam.
Mengulas mengenai program ini, Fahmi berkata, penganjuran sukan komuniti oleh Jabatan Komunikasi Komuniti seperti pertandingan futsal bukan sahaja dapat mengeratkan silaturahim dalam masyarakat tetapi juga menjadi platform untuk memupuk minat terhadap gaya hidup sihat.
“Niat kita untuk membuat program ini untuk merapatkan silaturahim dalam masyarakat di samping kita meluangkan masa untuk aktiviti sukan yang sihat,” ujarnya.
Justeru, beliau menggalakkan semua untuk sentiasa mengamalkan gaya hidup dan mengutamakan keselamatan dalam talian ketika bermain telefon.
Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Seri Mohamad Fauzi Md Isa; Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (JKOM), Datuk Ismail Yusop; Timbalan Ketua Pengarah JKOM, Suwadi Guliling; Pengarah JKOM Sabah, Milus Alu @Abd Wahad, dan Penggerak Komuniti Kota Kinabalu, Grace Lee Li Mei.


