Gov News

Mendapan selesai dibaiki, Jalan Masjid India dibuka semula

KERJA pembaikan jalan yang terjejas akibat mendapan berhampiran kawasan Masjid India di Kuala Lumpur, selesai pada 6 petang semalam.

Menurut kenyataan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), siasatan mendapati mendapan berlaku secara setempat yang menandakan terdapat gangguan pada kestabilan struktur turapan di kawasan berkenaan.

“DBKL akan meneruskan pemantauan rapi serta melaksanakan pemeriksaan dan pengimbasan lanjut di lokasi dan kawasan sekitar,” menurut kenyataan itu, malam tadi.

Sehubungan itu, Jalan Masjid India yang ditutup pagi semalam sebagai langkah keselamatan telah dibuka semula kepada laluan awam.

DBKL menegaskan keselamatan orang awam menjadi keutamaan, dan merakamkan penghargaan kepada semua pihak atas kerjasama serta pematuhan arahan keselamatan sepanjang kerja pemulihan dijalankan.

Terdahulu, DBKL memaklumkan terdapat kejadian mendapan berlaku di Jalan Bonus, berhadapan premis Bombay Jewellery pada jam 8.39 pagi semalam.

Susulan itu, pasukan DBKL, Air Selangor, Indah Water Konsortium (IWK) dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi dikerahkan ke lokasi bagi menjalankan siasatan awal dan menilai tahap risiko struktur di kawasan berkenaan.

Pada 24 Ogos tahun lalu, seorang warga India berumur 48 tahun, terjatuh ke lubang sedalam lapan meter berikutan tanah mendap di laluan pejalan kaki di Jalan Masjid India.

Back to top button