
Kita akan jumpa kepimpinan MIC selepas PRN – Tok Mat
BARISAN Nasional (BN) menunggu gelora reda bagi mengadakan perbincangan dengan MIC berhubung keputusan parti itu untuk meninggalkan gabungan itu.
Timbalan Pengerusi BN Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, perbincangan bersama kepimpinan tertinggi MIC itu akan diadakan selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.
“Kita akan jumpa… saya sendiri akan berusaha untuk berjumpa dengan kepimpinan tertinggi MIC agar kita dapat menyelesaikan segala kekusutan,” katanya seperti dipetik Bernama.
Beliau berkata demikian selepas bertemu jentera BN di Pusat Daerah Mengundi Binsulok bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Membakut pada semalam.
Mohamad berkata, beliau yakin MIC akan membuat pertimbangan terbaik berdasarkan hubungan akrab yang terjalin sejak sekian lama iaitu sebelum negara mencapai kemerdekaan.
“Saya yakin kepimpinan tertinggi MIC akan memikirkan sebaik mungkin dan sedalam-dalamnya kerana MIC merupakan parti yang bersama-sama dengan UMNO dan juga MCA semasa kita memerdekakan tanah air,” katanya.
Mohamad menambah, persahabatan dan kerjasama politik yang telah lama terjalin seharusnya tidak dibiarkan terjejas hanya kerana perbezaan pandangan.
“Jadi, jika ada apa-apa salah faham atau perkara yang perlu dijelaskan… elok kita bawa berunding supaya persahabatan yang telah lama terbina ini tidak terputus begitu saja,” katanya.
Kontroversi mengenai masa depan MIC dalam BN timbul selepas para perwakilan pada Perhimpunan Agung Tahunan MIC ke-79 di Shah Alam baru-baru ini sebulat suara menyokong resolusi untuk meninggalkan gabungan itu.
Meskipun perwakilan menyokong usul keluar namun menurut laporan, keputusan muktamad mengenai masa dan hala tuju kerjasama parti itu akan dibuat oleh Presiden dan Jawatankuasa Kerja Pusat MIC.


