Malaysian News

Jawatan KM Sabah ditentukan parti menang banyak kerusi

KAEDAH perundingan digunakan bagi melantik Ketua Menteri Sabah yang baharu selepas keputusan rasmi Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) Sabah diumumkan.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pihaknya sudah menetapkan atur cara perundingan jawatan Ketua Menteri baharu Sabah termasuk penyertaan bersama gabungan parti lain, dimana hierarki pemimpin itu dalam parti harus menjadi keutamaan.

Tanpa menyebut nama mana-mana pemimpin, beliau memaklumkan perkara tersebut hanya dapat diputuskan apabila BN menang di banyak kerusi dalam PRN Sabah kali ini.

“Kita sudah membuat keputusan apabila kita memenangi kerusi dan banyak, baru kita akan buat, untuk menentukan semua atur cara perundingan calon ketua menteri baharu.

“Tentunya kita meyakini hierarki (kedudukan pemimpin itu dalam parti) harus diberi keutamaan,” katanya ketika ditemui media selepas melancarkan manifesto BN di Bangunan UMNO Sabah, semalam.

Setakat ini, BN belum menamakan atau memberi petunjuk, mana-mana calonnya yang bertanding dalam PRN Sabah kali ini, sebagai ‘poster boy’ atau calon Ketua Menteri Sabah.

Namun, Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Mokhtar Radin sebelum ini, ada menyuarakan tawaran peribadinya, untuk sedia menggalas tanggungjawab itu jika BN diberi mandat, menawan banyak kerusi pada PRN Sabah kali ini.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, BN ketika ini hanya menjalinkan kerjasama bersama PH dalam melakukan rundingan dalam membentuk kerajaan negeri selepas pilihanraya.

“Kita mempunyai kesepakatan dan kerjasama semua kerusi yang ditandingi oleh (oleh calon) BN dan PH,” katanya.

Menyentuh serangan dari lawan sepanjang tempoh kempen ini, Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO mengakui ia berlaku, namun BN tak pernah lemah semangat, dengan apa saja serangan serta fitnah, sama ada cara fizikal ataupun spiritual.

“Kita yakin, dokongan (yang terus diberikan pucuk pimpinan) itu akan memberikan semangat kepada pemimpin dan calon untuk memenangi kerusi yang ditandingi.

“Kalau boleh kita mahu memang semua tapi realitinya kita perlu bekerja kuat. Kita juga mempunyai senjata yang ampuh untuk menyerang dan kita yakin kali ini gelombangnya akan marak biru.

“Kita birukan semula Sabah kerana kita mempunyai sejarah panjang di mana Sabah ketika dipimpin BN satu ketika dulu, adalah negeri yang sangat maju,” katanya.

Back to top button