Madani News

Sabah memilih: Semua pemimpin utama selesai buang undi

PENGERUSI Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin yang bertanding di DUN Lamag pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah  selesai  mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Garam, Kinabatangan pada 11.20 pagi.

Bung yang berhadapan saingan enam penjuru dicabar Johainizamshah Johari daripada GRS, Salahuddin @ Salehuddin Anoi daripada Parti Impian Sabah (PIS), ; Mohd Saifullah Lokman yang mewakil Warisan selain dua calon lain iaitu Mohd Ismail Ayob sebagai Bebas serta Mazlin Madali daripada Bersatu.

Sebanyak 13,859 pengundi berdaftar dijangka menunaikan tanggungjawab mereka untuk memilih wakil rakyat di kawasan berkenaan.

Sementara itu, semua pemimpin utama parti yang bertanding pada PRN Sabah telah selesai menunaikan tanggungjawab mengundi menjelang 12 tenga hari tadi.

Pengerusi GRS Datuk Seri Hajiji Noor, calon bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sulaman, selesai menunaikan tanggungjawab mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Serusup, Tuaran pada 11.42 pagi.

Selain itu, Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) Datuk Seri Arthur Joseph Kurup, calon BN di DUN Sook, mengundi di Sekolah Pekan Ansip, Sook, manakala Pemangku Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam, calon DUN Kundasang, mengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kundasang.

Turut menunaikan tanggungjawab mengundi ialah Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif, calon DUN Membakut, yang mengundi di SMK Membakut 2, Kimanis, manakala Presiden Parti Warisan (Warisan) Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, calon DUN Senallang, mengundi di SK Bubul, Semporna.

Selain itu, Pengerusi DAP Sabah Phoong Jin Zhe, calon DUN Likas, mengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan Tinggi Kota Kinabalu, manakala Timbalan Pengerusi PKR Sabah Datuk Peto Galim, calon DUN Inanam, mengundi di SK Kokol, Manggatal.

Tiga timbalan menteri persekutuan yang turut bertanding dalam PRN kali ini juga telah selesai mengundi, iaitu Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Chan Foong Hin, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Mohammad Yusof Apdal, dan Timbalan Menteri Luar Datuk Mohamad Alamin.

Chan, calon DUN Tanjung Aru, mengundi di SK Bahang, Penampang; Mohammad Yusof, calon DUN Silam, mengundi di SMK Terusan, Lahad Datu; manakala Mohamad, calon BN di DUN Bongawan, mengundi di SK Our Lady, Papar.

PRN Sabah ke-17 menyaksikan seramai 596 calon bertanding bagi merebut 73 kerusi DUN. 

Back to top button