Madani News

KKDW-Kerajaan Negeri bukti serius bangunkan Sabah

KEMENTERIAN Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) akan melaksanakan projek pembangunan luar bandar di Sabah secara kolaboratif bersama Kerajaan Negeri bagi memastikan pelaksanaan lebih berkesan, khususnya di kawasan pedalaman.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri KKDW, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pendekatan itu selari dengan peruntukan besar yang disalurkan kepada Sabah yang menerima peruntukan tertinggi KKDW.

“Kita tahu kosnya tinggi untuk kawasan pendalaman dan untuk mendapatkan bekalan api daripada Nasional Grid itu sangat mahal.

“Jadi kita menggunakan Mini Hydro dan beberapa perdekatan lain termasuk solar untuk memberikan bekalan api di kawasan pedalaman.

“Begitu juga bekalan air iaitu pelaksanaan program Bekalan Air Luar Bandar (BALB),” katanya dalam sidang media selepas perasmian Program Santuni Rakyat di Dataran Kota Kinabatangan, pada Khamis.

Menurut Zahid yang juga Presiden BN, bagi projek berpelanjawan RM50 juta ke bawah, pelaksanaannya akan dipertanggungjawabkan kepada kementerian, jabatan dan agensi Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak, dengan pemantauan rapi oleh KKDW.

“Oleh kerana Sabah dan Sarawak ini sangat-sangat luas, maka tentunya ada kekangan dari segi belanjawan.

“Namun, dengan kerjasama Kerajaan Negeri, kita yakin ianya akan dapat diliputi sebahagian besarnya keperluan asas untuk tempoh sebelum akhir penggal Ke-16 Dewan Undangan Negeri Sabah,” katanya.

Back to top button