
Pejabat NSRC baharu dilancar, percepat keupayaan selamat wang mangsa scam
PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka merasmikan pejabat baharu Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC) di Menara 2 Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) di Cyberjaya, bulan hadapan.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, penubuhan pejabat baharu itu merupakan antara langkah kerajaan bagi meningkatkan keupayaan menangani kes penipuan dalam talian dan memulangkan wang mangsa sekiranya laporan dibuat dengan segera, lapor Bernama.
“NSRC yang sebelum ini beroperasi di Sasana Kijang, Bank Negara Malaysia telah dipindahkan ke Menara 2 MCMC sekali gus membolehkan operasi lebih cekap dan bersepadu,” katanya.
Fahmi juga berkata, pemindahan pusat operasi itu mampu meningkatkan keupayaan NSRC untuk bertindak pantas memandangkan ia kini beroperasi 24 jam sehari dan jumlah petugas lebih ramai.
Ketika mula dilancarkan pada 12 Oktober 2022, NSRC yang boleh dihubungi melalui talian 997 menerima sekitar 300 hingga 400 panggilan sehari dan beroperasi dari 8 pagi hingga 8 malam.
Fahmi berkata berkata, sejak dipindahkan ke Menara 2 MCMC pada 17 November lalu, NSRC beroperasi 24 jam sehari dan menerima antara 500 hingga 700 panggilan sehari.
Beliau berkata, peningkatan itu mencerminkan peranan NSRC sebagai saluran utama rakyat untuk mendapatkan bantuan segera bagi mengelakkan kerugian kewangan yang lebih besar.
Fahmi turut menasihati mangsa supaya menghubungi NSRC dalam tempoh 30 hingga 60 minit selepas insiden bagi meningkatkan peluang untuk menyelamatkan wang yang dipindahkan, dan sebarang kelewatan mungkin menyebabkan kesukaran.


