Gov News

STR boleh ditarik balik jika kemuka maklumat tak tepat – MOF

KERAJAAN berhak menarik balik sebarang bantuan termasuk Sumbangan Tunai Rahmah (STR) sekiranya pemohon mengemukakan maklumat tidak tepat.

Kementerian Kewangan (MOF) dalam kenyataan memaklumkan setiap permohonan STR melalui pelbagai proses semakan dan verifikasi dengan agensi berkaitan bagi menyemak kelayakan pemohon.

Katanya, semakan berkala turut diadakan setiap suku tahunan untuk menyemak rekod pemilikan kediaman, pemilikan kenderaan, pemilikan perniagaan, serta rekod bekerja atau menetap di luar negara pemohon.

“Sekiranya didapati wujud maklumat palsu atau tidak tepat, tindakan undang-undang boleh diambil. Kerajaan juga berhak menarik balik mana-mana bantuan yang diluluskan sekiranya berlaku ketidakpatuhan,” menurut kenyataan itu.

Terdahulu, tular dalam media sosial dakwaan seorang individu layak untuk menerima bantuan STR, meskipun hasil sewaan enam rumah miliknya menjadikan pendapatannya melebihi nilai ambang kelayakan.

Dalam pada itu, MOF berkata, peruntukan keseluruhan untuk STR dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) bagi tahun ini berjumlah RM15 bilion, menjadikannya jumlah peruntukan tertinggi dalam sejarah Kerajaan Persekutuan.

Menurutnya, sebanyak RM1.1 bilion diperuntukkan untuk STR fasa satu tahun ini, yang akan mula disalurkan pada Selasa depan.

Back to top button