
Persahabatan Malaysia dan Timor-Leste kian kukuh
PRESIDEN Timor-Leste, José Ramos-Horta menyifatkan lawatan sulung Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke negara itu selama dua hari sebagai bukti persahabatan utuh antara Malaysia dengan Timor-Leste, sekali gus mengimbau sokongan tidak berbelah bahagi Malaysia terhadap perjuangan kemerdekaan negaranya.
Menurut beliau, perbincangan bersama Perdana Menteri berlangsung dalam suasana membina dan menumpukan perhatian pada masa depan, khususnya berkaitan pelaburan Malaysia dalam bidang perniagaan tani, pelancongan, tenaga boleh diperbaharui, selain pendidikan dan latihan vokasional untuk belia Timor-Leste.
Ramos-Horta turut mengumumkan bahawa Anwar akan dikurniakan anugerah tertinggi negara itu, iaitu Grand Collar of the Order of Timor-Leste, sebagai pengiktirafan terhadap bantuan serta peranan Malaysia yang konsisten menyokong aspirasi Timor-Leste menyertai ASEAN, khususnya menjelang Malaysia mengambil alih jawatan pengerusi ASEAN pada tahun 2025.
“Anugerah ini merupakan penghormatan terhadap komitmen peribadi beliau dan sokongan penting Malaysia. Timor-Leste dan Malaysia bukan sahaja berjiran, malah rakan kongsi dalam membina Asia Tenggara yang bersatu serta makmur,” katanya pada sidang media bersama di Istana Presiden di sini, hari ini.
Sementara itu, Anwar yang menegaskan hubungan persahabatan rapatnya dengan Ramos-Horta menyifatkan kunjungan tersebut bukan sahaja bersifat rasmi, malah berlandaskan keakraban peribadi.
Beliau berkata, lawatan tersebut signifikan kerana mengetengahkan sejarah bersama antara kedua-dua negara selain peranan Malaysia yang konsisten menyokong Timor-Leste sebelum dan selepas mencapai kemerdekaan.
Perdana Menteri turut menekankan kepentingan kerjasama dalam perdagangan, pelaburan, pelancongan, pendidikan dan pertahanan, sambil mengalu-alukan penglibatan Petronas serta syarikat swasta Malaysia di Timor-Leste.
“Kemasukan (anda) Timor-Leste ke ASEAN hanya menunggu masa. Malaysia menantikan untuk meraikan keanggotaan rasmi anda pada Sidang Kemuncak ASEAN, Oktober ini,” katanya.
Timor-Leste dijangka diterima secara rasmi sebagai anggota ASEAN ke-11 pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Kuala Lumpur bulan depan.


