Malaysian News

Pelajar MRSM antara lima beranak maut kebakaran

PENGERUSI MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mengesahkan salah seorang daripada lima beranak yang terkorban dalam tragedi kebakaran sebuah rumah di Raub awal pagi tadi adalah pelajar Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Bentong.

Lebih menyayat hati, beliau berkata, mangsa, Allahyarham Ruby Adira Batreisya Mohd Alawi, sedang menunggu keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Dalam hantaran di Facebook, Asyraf mengaku sangat terkesan serta berdukacita atas insiden tragis di sebuah rumah Kampung Pamah Kulat, Jalan Ulu Dong di Raub sekitar jam 3.44 pagi.

Malah, katanya, kebakaran itu memusnahkan 100 peratus struktur rumah, manakala tiga kereta dan tiga motosikal turut hangus.

Beliau berkata, lebih menyentuh hati ialah kakak serta adik arwah Ruby Adira Batreisya terselamat kerana tiada di rumah ketika tragedi itu berlaku.

“Pastinya, ujian ini terlalu berat untuk dipikul – kehilangan insan tersayang dalam sekelip mata, apatah lagi membabitkan hampir seluruh ahli keluarga.

“MARA amat berdukacita atas insiden menyayat hati ini. Insya-Allah, pihak MARA akan menghulurkan bantuan sewajarnya dan memastikan kebajikan ahli keluarga yang ditinggalkan itu terus diberi perhatian serta sokongan diperlukan dalam tempoh sukar ini,” katanya.

Asyraf Wajdi turut menitipkan doa agar roh semua mangsa berkenaan dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan hamba-Nya yang beriman.

“Sesungguhnya kita milik Allah SWT dan kepada-Nya kita kembali.

“Semoga kakak dan adik (kepada Allahyarhamah Ruby Adira Batreisya) yang ditinggalkan itu dikurniakan kekuatan luar biasa, ketabahan serta perlindungan daripada Allah SWT dalam menghadapi ujian amat berat ini,” katanya.

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Raub, Superintendan Mohd Shahril Abdul Rahman berkata, selain Ruby Adira Batreisya, 17, kejadian menyayat hati itu turut meragut nyawa ibu bapanya, Mohd Alawi Muhammad, 56, dan Zaleha Adam @ Ibrahim, 44, serta dua lagi beradik mangsa, Ruby Adlina Banin Mohd Alawi, 14, dan Ruby Azyan Barizah Mohd Alawi, 10, lapor BH Online.

Mohd Shahril berkata, dua lagi anak pasangan itu pula tiada di rumah ketika kejadian kerana menetap di asrama.

Dua beradik yang kini anak yatim piatu itu ialah Ruby Adalia Balqis Mohd Alawi, 19, yang sedang mengikuti pengajian di Kolej Matrikulasi Gambang, Kuantan, serta Ahmad Balia Murqam Mohd Alawi, 15, yang belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dong.

Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Seri Nor Hisham Mohammad berkata, tiga mangsa maut dalam kebakaran itu ditemui dalam bilik air, manakala dua lagi di luar rumah.

Back to top button