Madani News

Kerajaan tidak akan berkompromi jika Menteri langgar integriti

JEMAAH Menteri telah melaksanakan tanggungjawab dengan penuh integriti dan melaksakakan tugas, seperti mana petunjuk prestasi utama (KPI) yang disasarkan oleh setiap kementerian.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan tidak akan berkompromi sekiranya berlaku mana-mana pelanggaran integriti.  

“Kerajaan percaya bahawa akauntabiliti bukan sekadar soal hukuman, tetapi juga soal pembetulan, penambahbaikan berterusan dan tanggungjawab moral kepada rakyat. 

“Justeru, budaya prestasi tinggi dan integriti akan terus diperkukuh bagi memastikan setiap Kementerian benar-benar berfungsi secara efektif, cekap dan beramanah,” katanya menerusi jawapan bertulis disiarkan di laman web Parlimen.

Perdana Menteri berkata demikian bagi menjawab soalan Ahli Parlimen PN Arau, Datuk Seri Shahidan Kasim berhubung prinsip akauntabiliti Kabinet dan adakah kegagalan prestasi Kementerian akan disusuli tindakan tegas termasuk peletakan jawatan menteri selaras dengan amalan tadbir urus baik, integriti pentadbiran serta kebertanggungjawaban kepada Parlimen dan rakyat.

Mengulas lanjut, Perdana Menteri memaklumkan, kerajaan menegaskan komitmen yang tidak berbelah bahagi terhadap prinsip akauntabiliti Ahli Jemaah Menteri selaras dengan Perlembagaan Persekutuan.

“Perkara itu juga selaras dengan prinsip tanggungjawab bersama serta kebertanggungjawaban individu setiap Ahli Jemaah Menteri kepada Parlimen dan rakyat,” katanya.

Katanya, prinsip ini dizahirkan melalui beberapa pendekatan antaranya pemantauan Prestasi Berasaskan KPI dan pelan strategik dengan setiap kementerian dikehendaki menetapkan KPI yang jelas, terukur dan sejajar dengan Dasar Malaysia Madani serta Rancangan Malaysia Ke-12. 

“Pencapaian dinilai secara berkala dan dipantau oleh agensi berkaitan seperti Unit Pantau Madani dan Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU).

“Selain itu, pengukuhan tadbir urus dan integriti, di mana kerajaan memperkukuh pelaksanaan Pelan Antirasuah Nasional (NACP), pemerkasaan Jabatan Audit Negara termasuk usaha memperkasa Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti-Rasuah,” katanya.

Back to top button