
Kuasa prerogatif Agong tidak terjejas – Anwar
USAHA menghadkan jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun tidak mengubah asas demokrasi berparlimen dan tidak menjejaskan kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, cadangan pindaan Cadangan pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2026 bagi mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun tidak mengurangkan peranan Dewan Rakyat.
Jelasnya, cadangan tersebut memperkukuhkan lagi struktur perlembagaan melalui satu peruntukan yang jelas bagi mengukuhkan sistem semak dan imbang negara.
“Dalam salah silah demokrasi, kematangan sebuah negara tidak pernah diukur kepada lamanya seseorang memegang tampuk kuasa. Ia diukur pada kekuatan institusi yang menjamin kesinambungan dasar dan pentadbiran negara melangkaui individu.
“Jadi, pengehadan tempoh jawatan bukan penafian terhadap peluang kepemimpinan, sebaliknya satu ikhtiar untuk memastikan negara ini terus dipandu oleh institusi yang kukuh, berfungsi dan tidak terikat pada mana-ma insan semata-mata,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungan usul mengutuk serangan biadab dan ganas Israel dengan sokongan Amerika Syarikat (AS) ke atas Iran di Dewan Rakyat, pada Isnin.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, pembentangan RUU itu adalah sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan untuk memperkukuh institusi dan memartabatkan tatakelola negara.
“Ia merupakan manifestasi komitmen yang dijanjikan kepada rakyat dan dilaksanakan melalui proses Perlembagaan serta Parlimen.
“Cadangan pengehadan tempoh jawatan Perdana Menteri bukan perkara baharu dan telah lama menjadi sebahagian daripada wacana reformasi institusi negara,” katanya.
Jelasnya, ia mencerminkan kesedaran bahawa demokrasi yang matang memerlukan pembaharuan berprinsip.
“Kerajaan mengambil langkah menterjemahkan wacana berkenaan sebagai satu iltizam yang jelas untuk melaksanakan reformasi secara konsisten, bertanggungjawab dan berlandaskan Perlembagaan selepas meneliti amalan terbaik antarabangsa serta keperluan kestabilan dan keyakinan rakyat.
“Dari sudut kerangka Perlembagaan, pengehadan tempoh jawatan merupakan satu mekanisme tadbir urus yang diiktiraf dalam demokrasi moden. Mekanisme ini membantu memastikan peralihan kepimpinan berlaku secara tertib, teratur dan berlandaskan undang-undang,” katanya


