Peruntukan interim Sabah dinaikkan kepada RM1.5 bilion – PM

Peruntukan interim Sabah dinaikkan kepada RM1.5 bilion – PM

KERAJAAN Madani membuktikan komitmen serius dalam memenuhi tuntutan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) apabila mengumumkan kenaikan drastik pemberian khas interim untuk negeri Sabah.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan nilai pemberian tersebut kini ditingkatkan daripada RM600 juta kepada RM1.5 bilion.

Menurut Anwar, peningkatan lebih dua kali ganda itu adalah langkah proaktif kerajaan persekutuan sementara menunggu penyelesaian muktamad mengenai formula 40 peratus hasil Sabah.

“Peningkatan ini merupakan komitmen nyata Kerajaan Madani untuk menunaikan Pemberian Khas Sabah berasaskan 40 peratus hasil seperti yang diperuntukkan di bawah MA63,” tegas beliau dalam ucapan di Penampang, hari ini.

Beliau menjelaskan bahawa angka RM1.5 bilion ini berfungsi sebagai bayaran interim (sementara) bagi memastikan pembangunan Sabah tidak terencat sementara rundingan teknikal diteruskan.

Dalam pada itu, Perdana Menteri menegaskan bahawa keadilan dan semangat kerjasama menjadi teras utama dalam pentadbiran beliau bagi memastikan rakyat Sabah merasai limpahan kemajuan yang saksama.

“Insya-Allah, Kerajaan Madani akan terus memastikan hubungan Persekutuan dan Negeri diperkukuh berasaskan semangat kerjasama, saling menghormati dan keadilan demi kemajuan Sabah serta kesejahteraan rakyatnya,” katanya lagi menerusi satu hantaran di media sosial.

Langkah ini dilihat sebagai isyarat jelas Putrajaya untuk menoktahkan isu berbangkit berkaitan hak-hak negeri di bawah Persekutuan secara telus dan berperingkat.