Fadhli bayangkan kerjasama Pas dengan Bersatu tiada harapan lagi

Fadhli bayangkan kerjasama Pas dengan Bersatu tiada harapan lagi

TIADA harapan lagi untuk kerjasama harmoni antara PAS, Bersatu dan bergerak secara berasingan adalah jalan terbaik, kata Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari.

Secara sinis Fadhli berkata, Bersatu boleh mencari kawan politik yang lebih “pendengaran”, jika PAS mengatakan Bersatu kurang jentera dianggap “pekak”.

“Maka jika menyatakan hakikat bahawa Bersatu ketiadaan jentera dikatakan pekak, tiada harapan lagi sebuah kerjasama harmoni selepas ini. 

“Apatah lagi tindakan demi tindakan Bersatu kebelakangan ini pun dalam isu Perlis dan Negeri Sembilan boleh melahirkan kebimbangan apakah selepas PRU16 nanti akan ada pertimbangan secara bersendirian di dalam membentuk kerajaan persekutuan?

“Justeru, secara peribadi saya cadangkan jalan yang terbaik ialah bergerak secara berasingan. Kita kekal berkawan, cuma bukan di pentas pilihanraya. Anda boleh mencari kawan politik yang lebih jelas pendengaran, lebih terang penglihatan dan lebih kuat deria bau,” katanya dalam satu hantaran di Facebooknya.

Fadhli mendakwa Bersatu menyifatkan PAS pekak apabila parti Islam itu mendakwa jentera Bersatu tidak kuat.

Dakwaan pekak itu dilontarkan pemimpin Bersatu dalam Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Bersatu Melaka di Klebang, Melaka malam tadi.

“Apabila kedengaran sayup-sayup di Melaka ada pemimpin Bersatu yang berkata bahawa pekaklah sesiapa yang menyatakan partinya tiada jentera, maka itu bermakna sudah tiada harapan untuk sebarang kerjasama harmoni lagi.

“Bukanlah satu kesalahan jika sesebuah parti itu tiada jentera tambahan pula jika ia parti baru, tetapi yang menjadi masalah ialah kegagalan untuk mengakui kelemahan dan kekerdilan itu. 

“Apabila penafian terhadap hakikat itu berlaku, tindakan yang akan lahir nanti berasaskan keyakinan diri sentiasa kuat, walhal hakikat yang jelas terpampang ialah sebaliknya,” katanya