Tiada lagi campur tangan PM, pelantikan Pendakwa Raya ditentukan Agong

Tiada lagi campur tangan PM, pelantikan Pendakwa Raya ditentukan Agong

PELANTIKAN pendakwa raya di Malaysia selepas ini tidak lagi akan melibatkan campur tangan daripada Perdana Menteri atau Jemaah Menteri, sekali gus menandakan satu anjakan besar dalam agenda reformasi institusi negara.

Langkah drastik itu merupakan antara syor utama yang dikemukakan oleh Jawatankuasa Pilihan Khas (JKP) Dewan Rakyat bagi memperkemas Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No.2) 2026.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said mendedahkan bahawa melalui syor baharu ini, pelantikan pendakwa raya akan dibuat secara terus oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan (SPKP).

“Proses pelantikan ini akan menjadi lebih telus dengan penglibatan Parlimen. Nama calon yang dicadangkan bakal dimaklumkan kepada Parlimen terlebih dahulu bagi membolehkan sebarang pandangan diberikan kepada SPKP sebelum keputusan muktamad dibuat,” katanya dalam sidang media di Bangunan Parlimen, pada Isnin.

Azalina berkata, pendakwa raya pula hanya akan memegang jawatan selama tujuh tahun tanpa sebarang peluang pembaharuan kontrak atau pelantikan semula bagi mengelakkan pengaruh luar.

Selain itu, institusi tersebut juga diwajibkan membentangkan laporan tahunan di Parlimen bagi meningkatkan tahap ketelusan dan akauntabiliti kepada rakyat.

Mengulas lanjut, Azalina berkata
RUU yang bertujuan mengasingkan peranan Peguam Negara (AG) dan pendakwa raya ini telah dibentangkan untuk bacaan kali pertama pada 23 Februari lalu.

Sejak itu, penelitian mendalam secara dwipartisan yang melibatkan ahli Parlimen kerajaan serta pembangkang telah dijalankan.

Azalina menegaskan, bagi merealisasikan perubahan bersejarah ini, kerajaan memerlukan sokongan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat untuk meminda Perlembagaan Persekutuan.

Beliau turut menyeru masyarakat sivil dan rakyat untuk terus mendesak wakil rakyat masing-masing agar menyokong penuh pindaan ini demi sistem keadilan negara yang lebih diyakini.

“Kami sedang menyiapkan jalan baharu untuk negara kita… Parlimen mesti berpartisipasi. Yang paling penting ialah kalau kita terlepas pada sesi kali ini, saya takut apabila kita bercakap tentang reformasi ini, kita akan terus ketinggalan,” katanya.