KERAJAAN menyalurkan peruntukan berjumlah RM450 juta bagi membiayai kerja membaik pulih dan pembinaan rumah baharu bagi petugas FELDA di tanah rancangan di seluruh negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, penyediaan kediaman yang lebih selesa kepada petugas FELDA penting bagi memastikan kebajikan mereka terus terpelihara, sekali gus memperkukuh penyampaian perkhidmatan kepada warga peneroka.
“Saya umumkan peruntukan besar berjumlah RM450 juta untuk membiayai baik pulih dan bina rumah baharu rumah petugas FELDA di tanah rancangan,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Sambutan Hari Peneroka FELDA dan 70 Tahun FELDA di Stadium Tun Abdul Razak, Bandar Pusat Jengka, Maran, hari ini.
Hadir sama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Dalam pada itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan mengumumkan peruntukan tambahan RM20 juta bagi Projek Sentuhan Kasih FELDA untuk meningkatkan kebajikan dan kesejahteraan generasi baharu FELDA.
Beliau berkata, peruntukan itu akan digunakan bagi melaksanakan dua projek di Laka Selatan, Kedah yang melibatkan 86 unit rumah dan Palong, Negeri Sembilan (16 unit).
“Untuk kebajikan dan kesejahteraan generasi baharu FELDA, saya luluskan tambahan RM20 juta bagi menyelesaikan masalah ini,” katanya.
Sementara itu, Perdana Menteri turut memaklumkan kerajaan akan meminda Akta Tanah (Kawasan Penempatan Berkelompok) 1960 bagi membolehkan lebih daripada sebuah rumah dibina di atas satu lot kediaman di tanah rancangan FELDA.
Beliau berkata, pindaan itu merupakan antara lima inisiatif strategik kerajaan bagi menyelesaikan isu perumahan generasi baharu Felda yang telah berlarutan sekian lama.
“Saya telah mengarahkan FELDA menyiapkan draf pindaan itu dalam tempoh dua bulan untuk dibentangkan kepada Jemaah Menteri sebelum dibawa ke Parlimen tahun ini juga,”




