PAS menerima hakikat Barisan Nasional (BN) menerajui Melaka dan bersedia meneruskan kerjasama dengan gabungan itu dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, kerjasama antara kedua-dua parti akan diteruskan dan PAS sedia berada dalam kerajaan Melaka bersama BN.
“Kerjasama diteruskan. Dan untuk maklumat awal, kita terima hakikat Melaka dipimpin oleh Barisan Nasional,” katanya.
Mengulas persiapan PAS menghadapi PRN Melaka, Abdul Hadi berkata perbincangan mengenai calon masih berjalan dan keputusan akhir akan ditentukan oleh parti.
Beliau berkata PAS mempunyai senarai calon yang akan dipertimbangkan sebelum nama mereka dimuktamadkan untuk bertanding pada pilihan raya berkenaan.
Bagaimanapun, beliau tidak menyatakan tarikh khusus bagi pengumuman calon PAS.
Ditanya mengenai kemungkinan PAS bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau, Abdul Hadi berkata perkara itu masih belum diputuskan.
“Itu belum diputuskan lagi,” katanya.
Dalam pada itu, mengulas mengenai penggunaan logo Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16), Abdul Hadi berkata perkara tersebut bergantung kepada keputusan mahkamah.
“Terpulang kepada keputusan mahkamah. Namun kita bebas menggunakan simbol kita sendiri,” katanya.




