Tahanan rumah Najib: Jabatan Penjara di fasa akhir gubal peraturan

Tahanan rumah Najib: Jabatan Penjara di fasa akhir gubal peraturan

PELAKSANAAN tahanan di rumah bagi bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, semakin menjadi perhatian apabila Jabatan Penjara Malaysia kini berada di fasa akhir menggubal peraturan dan syarat bagi kaedah tersebut.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, proses penggubalan itu sedang dimuktamadkan susulan surat daripada Urus Setia Lembaga Pengampunan yang memberi kuasa kepada Jabatan Penjara menetapkan syarat pelaksanaan tahanan di rumah.

Menurutnya, peraturan khusus perlu diwujudkan memandangkan kaedah berkenaan belum pernah dilaksanakan di negara ini sebelum ini.

“Jabatan Penjara Malaysia sedang di fasa akhir, sedang menggubalnya. Negara kita tidak pernah ada (tahanan di rumah) sebelum ini tetapi tiba-tiba ada,” katanya seperti dipetik Bernama.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Peluncuran Program Kampung Angkat MADANI dan Sekolah Angkat MADANI Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) di Felda Tenang, di Jertih, pada Ahad.

Saifuddin berkata, surat Urus Setia Lembaga Pengampunan itu secara khusus membolehkan Jabatan Penjara membangunkan peraturan berserta syarat yang perlu dipatuhi bagi melaksanakan kaedah tahanan berkenaan.

“Jadi, tugas kami (Jabatan Penjara Malaysia) ialah untuk membangunkan satu set peraturan yang sekarang sedang diusahakan,” katanya.

Bagaimanapun, Najib masih berada di Penjara Kajang kerana belum menjelaskan denda RM50 juta yang ditetapkan sebagai salah satu syarat untuk membolehkannya menjalani baki hukuman menerusi tahanan di rumah.

Bulan lalu, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim memperkenankan pengampunan bersyarat kepada Najib yang membolehkannya menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028, tertakluk kepada pembayaran denda berkenaan.

Isu pelaksanaan tahanan di rumah itu kembali mendapat perhatian selepas peguam utama Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, baru-baru ini berkata anak guamnya akan menghabiskan baki hukuman penjara bagi kes SRC International bersama keluarga di kediamannya di Langgak Duta, Kuala Lumpur.

Muhammad Shafee berkata, perkara itu berdasarkan perintah tahanan di rumah yang diterima daripada Sultan Ibrahim.