Berhujan di konsert Siti Nurhaliza: Anwar terima teguran ‘orang warak’

Berhujan di konsert Siti Nurhaliza: Anwar terima teguran ‘orang warak’

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan kehadirannya pada Konsert Gema Bumantara penyanyi terkenal, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu lalu, adalah atas jemputan penyanyi itu dan suaminya, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa.

Anwar berkata, beliau memenuhi jemputan pasangan berkenaan walaupun mengakui dirinya bukan peminat tegar penyanyi itu, sekali gus menjelaskan kehadirannya yang mengundang kritikan sesetengah pihak, khususnya dalam kalangan pembangkang.

“Siti Nurhaliza dan suaminya mohon sangat-sangat saya hadir. Betullah, saya bukanlah minat, tapi pergi juga walaupun lambat sikit, (dan) ditegur oleh beberapa rakan,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab celahan Mohd Sany Hamzan (PH-Hulu Langat), yang secara berseloroh menyatakan kesediaannya untuk turut serta sekiranya Anwar menghadiri konsert pada masa akan datang, termasuk sanggup berhujan bersama.

Dalam penjelasannya, Anwar turut mempertahankan kepentingan seni dan persembahan budaya, dengan menyifatkan Siti Nurhaliza sebagai biduanita terkenal yang menyumbang kepada usaha memperkasakan seni tanah air.

Menurutnya, seni dan budaya mempunyai pelbagai bentuk yang wajar dihargai, bukan sahaja persembahan muzik moden, malah turut merangkumi warisan tradisional masyarakat Malaysia.

Beliau memberikan contoh seni wayang kulit, tarian tradisional serta kesenian masyarakat Sabah dan Sarawak sebagai antara khazanah budaya yang perlu terus dipelihara dan dihargai.

Pada masa sama, Anwar turut merakamkan penghargaan kepada pihak yang menegurnya berhubung kehadiran di konsert berkenaan, sambil menyentuh golongan yang disifatkannya sebagai individu warak.

“Terima kasihlah kerana yang tegur tu yang warak-warak (yang) tak pernah dengar lagu,” katanya.

Anwar turut mengakui dirinya mempunyai kelemahan tersendiri, termasuk dari segi minat terhadap muzik yang tidak terhad kepada lagu Melayu sahaja.

Malah, beliau berkata turut meminati lagu berbahasa Inggeris dan Hindi, selain muzik tempatan.

“Saya ini ada kelemahan saya kerana minat juga lagu bukan saja Melayu, Inggeris, Hindustan pun saya minat,” katanya.