DUA anggota polis yang terlibat dalam kes membabitkan Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain akan memfailkan saman sivil bagi menuntut pampasan dalam tempoh tujuh hari.
Peguam pemerhati yang mewakili kedua-dua anggota polis berkenaan, Kamal Hisham Ja’afar berkata, tindakan tersebut diambil susulan kecederaan fizikal serta kesan lain yang didakwa dialami susulan kejadian di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) itu.
“Dalam tempoh tujuh hari ini kami akan failkan di mahkamah bagi memulakan tindakan sivil terhadap Datuk Seri Mohd Shuhaily berkaitan kejadian.
“Sivil tu tuntutan terhadap kecederaan yang dialami. Memang ada kesan kecederaan dan kesan lain dari segi fizikal dan mental, selain daripada diaibkan di khalayak ramai.
“Kami akan buat tuntutan selaras peruntukan undang-undang yang ada,” ujarnya kepada pemberita di selepas prosiding di Mahkamah Majistret Sepang, pada Rabu.
Menurut Kamal Hisham, pihaknya masih menunggu laporan perubatan daripada Hospital Cyberjaya dan Pusat Kesihatan Salak sebelum membuat penilaian dan semakan undang-undang yang berkaitan.
Sementara itu, seorang lagi peguam pemerhati yang mewakili anggota polis berkenaan, Muhammad Nor Tamrin menafikan penglibatan kedua-dua anggota tersebut dengan sindiket atau kegiatan counter setting.
“Harap jangan diteruskan spekulasi mengatakan dua anggota polis berpangkat rendah ini terlibat dengan sindiket counter setting, kononnya ada sindiket besar di sebalik semua ini.
“Kami tegaskan bahawa tidak ada perkara tersebut, sekiranya ada, sila kemukakan laporan kepada pihak berkuasa.
“Apa yang berlaku adalah perbuatan kekerasan oleh seorang pegawai tinggi kepada anggota pangkat rendah. Tak ada kena mengena dengan sindiket atau perkara seperti itu,” tegasnya.
Terdahulu, Mohd Shuhaily mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada dua anggota polis di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Mengikut pertuduhan, beliau didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap dua anggota polis dalam kejadian di KLIA Terminal 1, Sepang, antara pukul 1.17 dan 1.35 tengah hari pada 28 September lalu.
Kedua-dua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan


