KDN sedang memuktamadkan perkhidmatan Shuhaily

KDN sedang memuktamadkan perkhidmatan Shuhaily

KEMENTERIAN Dalam Negeri (KDN) berkata urusan perkhidmatan Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain masih di peringkat untuk dimuktamadkan.

Kementerian itu dalam kenyataan berkata, ia ambil maklum serta menghargai pandangan yang disuarakan oleh masyarakat berhubung perkara berkenaan.

“KDN akan memastikan urusan tersebut dilaksanakan secara teratur mengikut peraturan dan tatacara yang berkuat kuasa,” kata KDN.

Berhubung peranan AKPS yang baharu memasuki tahun kedua penubuhannya, KDN menyifatkan agensi berkenaan sebagai entiti kritikal dalam memperkukuh pengurusan kawalan dan perlindungan sempadan negara.

Bagi menepis sebarang spekulasi mengenai keupayaan operasi agensi tersebut, kementerian mengulangi komitmen penuhnya terhadap tahap keselamatan negara.

“Sebagai agensi penting yang berpegang teguh pada pengukuhan keselamatan sempadan, kelancaran urusan, perlindungan hasil negara serta integriti dan disiplin, keutamaan KDN adalah memastikan AKPS terus berupaya melaksanakan peranannya secara optimum demi menjamin keselamatan serta kedaulatan negara,” katanya.

Dalam perkembangan sama, KDN turut memberi jaminan bahawa aspek kesinambungan operasi dan kelancaran pelaksanaan tugas harian di AKPS sentiasa diberikan tumpuan penuh sepanjang kementerian menguruskan hal ehwal perkhidmatan pegawai terbabit.