PERIKATAN Nasional (PN) menegaskan sebarang rundingan kerjasama politik bersama Barisan Nasional (BN) mesti dilaksanakan atas prinsip kesetaraan tanpa ada mana-mana pihak bertindak sebagai ‘Abang Long’.
Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, sikap saling menghormati dan mengambil kira kehendak semua pihak adalah asas utama sekiranya kedua-dua gabungan itu mahu membina muafakat politik yang kukuh.
”Tidak ada ‘Abang Long’. Awal-awal lagi saya pernah sebut kepada rakan-rakan yang kita runding, tidak ada istilah ‘Abang Long’ dalam perbincangan dan perundingan. Barulah kita duduk sebagai rakan yang setara untuk berbincang.
”Jangan minta kita sahaja dalam PN untuk berjiwa besar. Pihak satu lagi pun perlulah berjiwa besar,” katanya ketika berucap sempena Sambutan 70 Tahun Pas Kawasan Dungun dan Himpunan Teguh Memimpin Terengganu (TMT 2.0), malam tadi.
Kenyataan Samsuri itu menyusul kejayaan kerjasama BN-PN pada PRN Melaka Sabtu lalu.
Ia adalah kejayaan hatrik tiga kemenangan kerjasama BN-PN dalam PRN Johor, Negeri Sembilan dan Melaka.
Ahmad Samsuri turut menegaskan bahawa sebarang prinsip dan peraturan dalam rundingan perlu dilaksanakan secara konsisten serta tidak berubah mengikut kepentingan pihak tertentu.




