Gov News

Kesilapan Data Oleh Trump Jejas Perdagangan Malaysia – Ahmad Maslan

PUTRAJAYA, 8 April 2025 – Timbalan Menteri Kerja Raya merangkap Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan meminta agar kerajaan mengambil tindakan segera untuk membetulkan kesilapan fakta yang dibuat oleh Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump berkaitan tarif import antara Malaysia dan Amerika Syarikat.

Menurut beliau, Trump mendakwa bahawa Malaysia mengenakan tarif setinggi 47% terhadap barangan import dari Amerika, sedangkan kadar sebenar secara purata hanyalah 5.6%. Dakwaan tidak tepat itu telah menyebabkan Amerika Syarikat mengenakan tarif timbal balik sebanyak 24% terhadap barangan eksport Malaysia.

“Silap data, silap kira, maka silap keputusan. Negara maju dan hebat seperti Amerika Syarikat pun boleh salah kira dan salah maklumat tentang nilai tarif import,” tegas Ahmad Maslan dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau menambah bahawa kesilapan ini memberi kesan langsung kepada ekonomi negara serta para pengeksport tempatan yang terpaksa menanggung beban tambahan akibat tarif yang tidak sepatutnya dikenakan.

Ahmad Maslan menyarankan agar isu ini diselesaikan melalui saluran diplomasi dan rundingan segera agar keadilan dapat ditegakkan, dan rakyat Malaysia tidak dizalimi oleh tindakan sepihak yang berpunca daripada kesilapan fakta.

“Kesilapan ini mesti dibetulkan segera dengan kaedah rundingan agar negara dan rakyat kita tidak terbeban dan dizalimi oleh penguasa dunia seperti USA,” katanya lagi.

Beliau turut menyeru agar semua pihak, terutamanya kementerian berkaitan seperti MITI dan Wisma Putra, bertindak proaktif dalam menuntut pembetulan data dan semakan semula ke atas kadar tarif yang dikenakan.

Back to top button