KABINET hari ini tidak membincangkan isu pengurangan kuota subsidi BUDI95, kata Jurucakap Kerajaan Datuk Fahmi Fadzil.
Sebaliknya, Menteri Komunikasi itu menjelaskan, kerajaan pada masa ini sedang meneliti isu pelaksanaan penyasaran subsidi diesel sebagai mana mekanisme BUDI95.
“Sekarang kita sedang meneliti isu-isu berkenaan dengan pelaksanaan diesel,” katanya dalam sidang media pasca Kabinet di Putrajaya hari ini.
Isu pengurangan subsidi BUDI95 tercetus apabila kerajaan memberi bayangan kemungkinan akan mengurangkan kuota bulanan bahan api RON95 bersubsidi di bawah program BUDI95 daripada 200 liter kepada 150 liter.
Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong berkata, langkah tersebut merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan untuk menjimatkan bekalan bahan api domestik di tengah-tengah ketidaktentuan geopolitik global.
Menurut beliau, cadangan pengurangan ini dibuat berdasarkan data semasa yang menunjukkan majoriti rakyat Malaysia sebenarnya menggunakan bahan api di bawah ambang yang dicadangkan.
Pada Mac lalu kerajaan telah menurunkan had subsidi daripada 300 liter kepada 200 liter dan data konsisten menunjukkan 80% rakyat menggunakan kurang daripada 200 liter sebulan.
Bagaimanapun Chin Tong menafikan laporan bahawa kerajaan kemungkinan akan mengurangkan subsidi BUDI95 kepada 150 liter sebulan seperti dilaporkan media.
Sebaliknya beliau mendakwa, media telah memetik di luar konteks apa yang diperkatakannya dalam satu majlis anjuran AFFIN Bank hari ini.
“Pagi ini, dalam satu majlis anjuran AFFIN Bank, saya ditanya mengenai strategi kerajaan untuk menangani krisis tenaga.
“Namun, apabila dilaporkan, ia tidak tepat kerana diambil di luar konteks,” katanya.




