
Anwar, Bayrou saksikan 3 dokumen antara Malaysia-Perancis
KUNJUNGAN Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Perancis menyaksikan pertukaran tiga dokumen penting yang bakal memperkukuh kerjasama strategik dua negara.
Pertukaran dokumen itu disaksikan Anwar dan Perdana Menteri Perancis, François Bayrou.
Ia membabitkan pertukaran dokumen dalam bidang pertahanan, ekonomi dan teknologi.
“Saya dan PM François Bayrou kemudiannya menyaksikan pertukaran tiga dokumen penting yang bakal memperkukuh kerjasama strategik Malaysia dan Perancis merentasi bidang pertahanan, ekonomi dan teknologi.
“Perjanjian persefahaman antara Malaco dan Carester menandakan pencapaian besar dalam pembangunan industri nadir bumi Malaysia, selari dengan komitmen ESG dan inisiatif tenaga baharu negara.
“Surat tawaran kepada Thales LAS pula memperkukuh keupayaan pemantauan ruang udara Malaysia menerusi dua radar jarak jauh baru.
“Manakala kerjasama antara MATRADE dan Business France akan merancakkan promosi perdagangan dua hala merentasi sektor strategik seperti aeroangkasa, tenaga boleh baharu dan ekonomi digital,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.