
Sesi ‘One-on-One’ syarikat utama Perancis capai matlamat
PEMETERAIAN perjanjian pembelian pesawat A321XLR antara AirAsia Berhad dan Airbus Industrie bakal memperkukuh keupayaan operasi syarikat penerbangan itu bagi laluan jarak dekat dan sederhana, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menerusi hantaran di Facebook, Perdana Menteri berkata, perolehan pesawat itu memperluas rangkaian penerbangan kebangsaan, malah menyokong aspirasi Malaysia sebagai hab penerbangan utama di benua Asia.
“Saya turut menyaksikan pertukaran memorandum persefahaman antara 3P Capital Adviser dan Ardian, syarikat pelaburan persendirian terkemuka dari Perancis, dalam usaha meneroka peluang pelaburan dalam pasaran persendirian.
“Inisiatif sektor swasta ini mampu membuka akses lebih luas kepada rakyat Malaysia terhadap pelaburan alternatif,” katanya.
Dalam pertemuan bersama Imerys, syarikat pemproses mineral industri yang bertapak di Malaysia lebih 25 tahun, Anwar dimaklumkan mengenai komitmen mereka memperluas operasi dan menyokong pembangunan sektor pembuatan bernilai tinggi dan mesra alam di negara ini.
Anwar juga bertemu dengan Arkema, peneraju global dalam bidang kejuruteraan kimia khas yang sedang menilai potensi pelaburan baharu di Malaysia.
Syarikat berpangkalan di La Defense, Paris itu mencatat keuntungan €9.5 bilion (RM49.4 bilion) pada 2024.